“Sudi tak awak kawin dengan saya”? Ini adalah ungkapan yang selalu
dituturkan oleh seorang lelaki kepada seorang wanita. Tiada yang ganjil
bukan. Bagaimana pula jika ia dituturkan oleh seorang wanita kepada
seorang lelaki. Dalam konteks kehidupan masyarakat kita sekarang, wanita
tersebut pasti digelar “perigi mencari timba” kan?
Andai anda seorang wanita yang sangat menyukai seorang lelaki, dan anda
merasakan bahawa lelaki itu mampu menjamin kehidupan dan kebahagiaan
anda kelak, tetapi anda takut atau khuatir untuk memulakan langkah
pertama kerana risau digelar perigi mencari timba. Walhal, anda
memulakan langkah tersebut untuk membina sebuah perhubungan yang halal
antara lelaki dan perempuan kerana ianya dituntut dalam Islam
Tekanan
Istilah perigi mencari timba ini sebenarnya secara tidak langsung
memberi tekanan kepada wanita-wanita yang agak berusia atau bekerjaya
untuk mempunyai pasangan hidup. Mereka merasa malu untuk memulakan
langkah pertama dalam menyatakan isi hati mereka kepada seseorang. Hal
ini secara tidak langsung mendorong golongan ini untuk memilih menjadi
anak dara sehingga ke akhirnya atau menjadi isteri muda. Relevankan
istilah perigi mencari timba ini kerana setiap manusia tidak kiralah
lelaki atau perempuan mempunyai hak untuk memilih sesiapa yang disukai
atau disayanginya….
Drama/Filem
Selalu juga ditonjolkan dalam drama-drama atau filem-filem tentang
persahabatan 2 sahabat karib, lelaki ( kita gelar dia sebagai A ) dan
wanita ( kita gelar dia sebagai B ). Dalam perhubungan tersebut, A
menganggap B adalah teman terbaiknya. Segala-galanya dikongsikan bersama
B walaupun tentang perasaannya terhadap wanita lain. Tapi, lain pula
halnya bagi B. Keakraban yang dibina sejak sekian lama telah memutikkan
rasa cinta dihatinya terhadap A. Mahu bersikap jujur dan menyatakan isi
hatinya terhadap B, terasa malu pula. Bimbang digelar perigi cari timba.
Akhirnya B melepaskan A kepada wanita lain. Tanpa diketahuinya, A juga
menyimpan satu rahsia dalam dirinya bahawa dia sebenarnya mencintai B.
Berakhir kisah cinta rahsia antara dua hati ini.
Mentaliti
Mentaliti orang kita terhadap hal ini sebenarnya tidak membantu dalam
membina sebuah komuniti yang normal. Sifat malu perlu ada pada setiap
wanita, tetapi tiada yang salah tentang menyatakan jika kita menyukai
seseorang itu. Asal jangan melebih-lebih sehingga menjatuhkan maruah
sendiri sahaja sudah.
Rumusan
Jadi wanita-wanita di luar sana, fikirkan dalam-dalam samada anda
sanggup melepaskan seseorang yang anda cintai semata-mata risau digelar
perigi mencari timba. Ia hanyalah istilah. Tiada yang menjilidkan di
dalam undang-undang bahawa sekiranya kita menyatakan rasa hati kita
kepada seorang lelaki, kita dianggap “muka tidak tahu malu”. Tiada
salahnya mencuba. Penolakan itu biasa, tapi penyesalan sekiranya tidak
menyatakan isi hati adalah yang paling memeritkan… Malu tapi mahu,
bukankah begitu?? =)..
No comments:
Post a Comment